Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia mendedikasikan kejayaannya muncul juara Kejohanan Terbuka Arctic 2023 buat seluruh peminat badminton tanah air.

Penantian panjang itu ditamatkan oleh Zii Jia selepas beliau mempamerkan aksi lebih bertenaga untuk menundukkan rakan senegara, Ng Tze Yong dalam aksi ‘straight set’ 21-14, 21-15.

Kejayaan manis dalam kejohanan berstatus Super 500 itu hadir tepat pada masanya selepas Zii Jia menerima kecaman hebat ekoran prestasi turun naik tanpa sebarang kejuaraan pada tahun ini (sehingga September).

Sehubungan dengan itu, Lee Zii Jia menganggap sokongan berterusan yang diberikan oleh semua pihak termasuklah para peminat menjadi kunci kejayaannya.

“Begitu banyak yang terbuku dalam hati saya,” ujar beliau dalam satu kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Team LZJ.

“Oleh yang demikian izinkan saya untuk ucapkan terima kasih kepada keluarga saya, dua jurulatih saya Wong Tat Meng dan Liew Daren, Team LZJ, penaja-penaja saya, serta mereka yang sentiasa menyokong saya.”

“Kepercayaan anda membolehkan saya untuk terus berjuang.”

“Final di Finland ini akan jadi kenangan manis buat saya, kerana dalam sejarah akan tertulis dua perseorangan lelaki Malaysia bertarung demi Jalur Gemilang di dada, Terima Kasih Tze Yong untuk momen ini.”

“Akhir kata, kejuaraan ini buat anda semua, niat dan impian saya adalah sentiasa untuk mengharumkan nama negara kita yang tercinta.”

“Terima kasih Malaysia dan perjuangan akan diteruskan,” tambah pemain ranking nombor 14 dunia itu lagi.

Sumber